Wednesday 19 September 2012

Ke mana mereka hilang?


Ke mana hilangnya baki 98,000 askar?

MENURUT Tom Pires, Melaka mempunyai 100,000 orang askar dan mempunyai angkatan tambahan sebanyak 700 askar Jawa.  Namun, menurut laporan perang sebagaimana dicatat oleh Alfonso de’ Albuquerque, hanya seramai 2,000 askar Melaka berperang dengan Portugis.

Dalam catatan yang sama, Albuquerque turut menyatakan 2,000 askar Melaka itu dibantu oleh 700 askar Jawa yang menentang 600 askar Portugis (lebih kurang 200 askar Portugis terbunuh dalam pertempuran pertama) yang berada di Melaka dalam episod serangan balas.

Apabila dipersilangkan kedua-dua laporan Pires dan Albuquerque itu, didapati wujud persamaan angka iaitu 700 askar Jawa. Berdasarkan kedua-dua laporan itu, kita ketahui bahawa askar Melaka dibantu oleh 700 askar Jawa. Kewujudan persamaan angka itu menunjukkan kedua-dua laporan itu adalah selari dan boleh dipercayai.

Pires menyatakan: Askar Melaka sebanyak 100,000 orang yang sentiasa bersiap sedia dan ada angkatan tambahan 700 askar Jawa.

Albuquerque menyatakan: Hanya 2,000 askar Melaka pergi berperang dan dibantu 700 askar Jawa dalam siri serangan balas.

Albuquerque menambah, dalam Kota Melaka pula terdapat 20,000 orang (bukan askar) yang sedia terlibat dalam serangan balas tersebut, ia termasuk orang-orang Melayu Melaka, Jawa, Parsi dan Coracone.

Namun, Albuquerque memintas serangan tersebut dengan meningkatkan kawalan askar Portugis di sekitar Kota Melaka sehingga menyebabkan 20,000 orang tersebut tidak tampil semasa serangan balas itu. 

Kejayaan memintas tindakan 20,000 orang itu menyebabkan angkatan serangan balas yang dipimpin Sultan Mahmud Shah menghadapi kesulitan.

Terdapat catatan lain dari Albuquerque yang lebih menarik. Menurut Albuquerque, beberapa laras senapang ditemui askar Portugis di Jeram Kwi dekat Tembeling, Pahang pada semasa Portugis meningkatkan kawalan ketenteraan di daratan.

“Guns found at Jeram Kwi on the Tembeling in Pahang… and the guns (tidak dinyatakan berapa laras semuanya) themselves seem to have been lethal….”

Jadi, Albuquerque mengesahkan bahawa sudah terdapat senjata api yang digunakan orang Melayu.

Beliau mengukuhkan kenyataan tersebut dengan mencatat bahawa Antonio de Abreau berhadapan kesultan semasa menghadapi serangan balas askar Melaka apabila ditimpa peluru-peluru meriam sehingga menyebabkan Abreau mengalami kecederaan di rahang akibat terkena serpihan peluru meriam.

Ia menjelaskan bahawa teknologi ketenteraan orang Melayu adalah setara dengan teknologi perang orang Eropah iaitu penggunaan senjata api seperti senapang dan meriam. Orang Melayu dahulu tidak berperang menggunakan keris (senjata milik peribadi bagi golongan elit) atau parang semata-mata, mereka juga ada senjata api.

Dalam catatan lain, Albuquerque menyatakan bahawa Portugis menghadapi serangan sengit selama 14 hari dan 14 malam tanpa henti dengan dentuman meriam dari pihak Melaka.

Jika orang (Melayu) Melaka hanya berperang dengan menggunakan tombak, keris dan parang semata-mata, tidak mungkin Portugis terpaksa berhempas pulas selama dua minggu tanpa henti kerana askar Portugis dilengkapi senjata jarak jauh seperti meriam, crossbow dan senapang.

Portugis menghadapi kesulitan itu kerana Melaka juga mempunyai senjata-senjata yang setaraf dengan Portugis. Senapang lawan senapang, meriam lawan meriam dan panah lawan crossbow. Oleh itu, sudah tentu bukan mudah untuk mengalahkan Melaka pada ketika itu.

“…3,000 pieces of artilleries were taken, and among them there were about 2,000 in bronze, and one very large gun which the King of Calicut had sent to the Sultan of Malacca…let not those who read this writing be astonished when I say that in Malacca were taken 3,000 guns, for Ruy de Araujo and Ninachatu declared to Alfonso de Albuquerque that there were 8,000 (artilleries) in Malacca..and the guns were as good as those of Germany..” - Alfonse de Albuquerque

Kalau kekuatan Melaka adalah sama hebat, jauh lebih hebat daripada Portugis, tidak mungkin Melaka menderita kehilangan negeri. Mustahil Melaka kalah kerana Melaka mempunyai banyak kelebihan untuk menang.

---
Hanya 2,000 bersama Sultan Mahmud dalam serangan balas.
Sebelumnya, terdapat 100,000 askar Melaka menentang 800 askar Portugis di Selat Melaka.

Apa yang telah berlaku kepada baki angkatan 98,000 askar Melaka?

Kalau mereka dibunuh, siapa yang membunuh mereka?

Kalau mereka membelot, siapakah ketua mereka?

Portugis datang ke Melaka dengan kira-kira 800 askar, ada yang terbunuh dan ada yang terselamat, dalam menghadapi 2,000 askar Melaka (tidak termasuk 700 askar Jawa), Portugis masih boleh bertahan, bagaimana Portugis bertahan sedangkan bantuan armada Portugis dari India belum sampai ke perairan Selat Melaka, adakah mereka menerima bantuan askar upahan yang berdekatan, siapakah askar upahan Portugis? Adakah dari kalangan 98,000 orang itu?

Tidak mungkin semua 98,000 orang askar itu mati dalam pertempuran pertama, pasti ada baki dari kalangan mereka, tidak mungkin mereka 'hilang' begitu sahaja.

Katakan, kita sudah jumpa 20,000 orang daripada kumpulan askar 98,000 orang yang hilang itu, tetapi mereka tidak muncul dalam serangan balas.

Dilaporkan ada 20,000 orang menunggu di Kota Melaka untuk membantu angkatan serangan balas, tetapi mereka bukan askar, akhirnya mereka tidak juga muncul-muncul.

Tiada masalah kalau semberono mahu memasukkan mereka ke dalam kumpulan 98,000 askar itu, 98,000-20,000, ada baki 78,000 orang lagi, tetapi kumpulan 20,000 orang itu juga hilang begitu sahaja, ke mana hilangnya mereka? ke mana hilangnya 98,000 askar Melaka?

Dibunuh?
Membelot?


-HISTORIA-

Thursday 8 March 2012

The Great Malay City States

Kekayaan Malay city states hasil manfaat Selat Melaka




Beberapa catatan pengembara Eropah mengenai Melaka:
“Malacca is such importance and profit, that is has no equal in the world. It is a city state made for merchandise, fitter than any other in the world..”Tom Pires.
“Melaka adalah satu kepentingan dan tempat mencipta keuntungan yang tidak ada tempat yang sama dengannya di dunia. Ia adalah sebuah negara kota yang dibangunkan untuk perdagangan, lebih maju berbanding tempat-tempat lain di dunia .. " - Tom Pires.
---
“Malacca is the richest seaport with the greatest number of wholesale merchants and abundance of shipping that can be found in the whole world..”Duarte Barbosa.
“Melaka adalah pelabuhan terkaya dengan bilangan peniaga borong paling banyak dan tempat persinggahan perkapalan yang datang dari serata dunia ..” - Duarte Barbosa.
---

Melaka sudah lama menjadi sebutan di seluruh pelosok dunia sebelum bangsa penjajah dari Eropah menjejakkan kaki ke bumi Melayu pada awal abad ke-16. Populariti Melaka sebagai pusat perdagangan antarabangsa paling maju sering disebut-sebut oleh para pedagang India, Arab, China dan beberapa lagi sehingga sampai ke telinga orang Eropah.

Kedudukan Melaka di celah laluan sempit Selat Melaka yang menghubungkan dunia Barat dan Timur menjadikan ia sebagai laluan terpenting sejak berabad lama. Setiap kapal dagang yang membuat pelayaran dari Timur ke Barat atau Barat ke Timur akan singgah di Melaka, melakukan perdagangan dan ia menguntungkan Melaka.

Hasil kegiatan perkapalan dan perdagangan yang sangat maju, Melaka berkembang maju sebagai sebuah Malay City State yang paling terkenal di rantau Asia, lebih terkenal daripada China di Asia Timur dan India di Asia Selatan.

Ia membolehkan Melaka terus maju dari sebuah kerajaan biasa sehingga menjadi sebuah negara kota yang paling kaya di dunia. Kekayaan dan kemegahan Melaka sebagai sebuah negara kota turut diakui sendiri oleh para pengembara Eropah, Tom Pires dan Duarte Barbosa (sekadar memetik beberapa nama) yang kagum dengan Melaka.

Mereka menyifatkan Melaka sebagai sebuah tempat dagang yang cukup kaya dan maju serta tidak sama seperti lain-lain tempat, taraf Melaka diletakkan cukup tinggi di mata penilaian mereka mengikut kaca mata perdagangan antarabangsa.


Malah dicatatkan, Melaka adalah sebuah city state yang seimbang antara kemajuan perdagangannya dengan susun atur masyarakat serta nilai budaya bangsanya yang tinggi. Melaka maju dalam keadaan yang sangat teratur dan terancang, seperti dicatat Pires.

Tom Pires dalam laporan catatannya juga menegaskan bahawa, Melaka harus dimiliki kerana ia penting dalam bentuk ekonomi untuk mencipta lebih banyak keuntungan kepada Portugis. Melaka dan keseluruhan Semenanjung Tanah Melayu adalah destinasi ekonomi yang sangat menguntungkan.

Namun, Melaka adalah episod akhir kepada sejarah kegemilangan Malay City States di Semenanjung Tanah Melayu, andai pernyataan itu tidak silap. Sebelum Melaka menjadi sebuah destinasi perdagangan yang paling gah di Asia Tenggara, sudah banyak Malay City States tumbuh wujud di Asia Tenggara beberapa abad sebelum orang Eropah sampai ke sini dengan membawa armada penjajahan.

Lama sebelum terbinanya Melaka, sudah wujud beberapa kerajaan Melayu di Asia Tenggara sejak berabad lama, antaranya ialah Srivijaya di Sumatera yang wujud sejak tahun 700 Masehi. Sesetengah pendapat mengatakan ia bermula sejak tahun 500 Masehi, lain-lain pendapat pula sekitar tahun 200 Masehi. Kira-kira 1,000 tahun lebih awal daripada Melaka, satu tempoh yang cukup lama dan sudah pasti mempunyai sejarah kegemilangan yang panjang sebelum saat kejatuhannya.

Srivijaya, sebuah Maritime Malay City State (negara kota Melayu berasaskan kegiatan maritim / laut) yang pertama, menjadi sebuah kuasa besar di dunia Melayu sejak sebelum kedatangan Islam. Ia juga mempunyai benang yang bersambung dengan darah Kesultanan Melayu Melaka. Ketika itu, Srivijaya adalah sebuah kerajaan yang menganut Hindu-Buddha, manakala bangsanya ialah Melayu.

Sami Buddha dari China, I-Ching yang singgah ke Srivijaya pada tahun 675M merekodkan bahawa beliau menemui satu bangsa di sana yang mempunyai set budaya, kemajuan taraf kehidupan dan kehalusan nilai tamadun yang tinggi. Beliau mencatatkan bangsa itu sebagai Malayu. Daripada catatan I-Ching, difahami bahawa Srivijaya adalah sebuah Malay City State yang mempunyai nilai peradaban yang tinggi.

Srivijaya ialah empayar Melayu paling gah di Asia Tenggara dan mempunyai kesinambungan kepada Kesultanan Melayu Melaka. Dalam erti kata lain, Melaka mewarisi nilai-nilai sosio-budaya, sistem pemerintahan dan sebagainya daripada Srivijaya yang kini Palembang.

Sumber teks Sejarah Melayu juga ada menyebut bahawa darah sultan-sultan Melaka adalah susur galur keturunan diraja Srivijaya. Melalui inskripsi sejarah Kedukan Bukit, pengasas Srivijaya adalah Dapunta Hiyam yang menakluk Jambi sehingga mengembangkan kuasa dan pengaruh ke negeri-negeri di Selat Melaka, termasuk Melaka yang masih sebagai wilayah kecil taklukan Srivijaya pada masa itu.

Kerajaan Kedah Tua (Kataha) yang lebih dahulu wujud juga jatuh ke tampuk kuasa Srivijaya semasa pemerintahan Dapunta. Rekod-rekod di Ligor, Jaiya dan sekitar Segenting Kra, persekitaran politik di sana menerima pengaruh Srivijaya pada kira-kira 775 Masehi berikutan daripada sistem pemerintahannya yang teratur dan kemas.

Menurut Jan W. Christie dari Pusat Pengajian Asia Tenggara, University of Hull melalui jurnal bertajuk Trade and Early State Formation in Maritime South East Asia: Kedah and Srivijaya mengatakan, jauh lebih awal iaitu sekitar abad ke-2 Sebelum Masehi, direkodkan wujud perdagangan gangsa antara Kedah Tua dengan India yang membawa Kedah Tua menjadi sebuah city state sebelum tertakluk di bawah Srivijaya. Sebelum itu pula, Kedah Tua juga direkodkan pernah menjalankan perdagangan logam-logam benilai tinggi dengan China dan India.

Christie juga mengatakan, sejak akhir zaman logam, hubungan dagangan antarabangsa antara Kedah Tua dengan China dan India telah mencapai zaman kegemilangannya. Apabila memasuki abad pertama Masehi, hubungan dagang Kedah Tua terus berkembang pesat dengan memperbesar hubungan dagang dengan negara-negara di sekitar Laut Meditteranean.

Tambah Christie lagi, negeri-negeri Melayu di Semenanjung dan gugusan Kepulauan Melayu (Indonesia) adalah wilayah-wilayah ekonomi terbesar dunia sejak abad-abad Sebelum Masehi lagi.

Di Sumatera, keadaan tanah subur juga membolehkan kegiatan pertanian berkembang pesat menjadi industri pengeluaran bahan makanan terutama beras. Hasil pengeluaran pertanian didagangkan kepada para pedagang yang singgah di pelabuhan-pelabuhan dan menyumbang kepada pendapatan yang besar dan dibayar dengan emas. Manakala emas pula banyak dilombong di Pahang dan Tembeling untuk dijadikan perhiasan dan mata wang bagi tujuan perdagangan.

Sejak abad pertama Masehi juga, tanah Semenanjung pernah menjalankan perdagangan bijih timah semalam beberapa kurun. Hasil-hasil logam seperti timah dan emas mendatangkan pulangan yang tinggi kepada negeri-negeri Melayu sejak Sebelum Masehi. Ia dieksport ke serata dunia dan menjadi tumpuan negara-negara di sebelah Asia Timur, Meditteranean dan Asia Selatan yang berminat untuk menjlain hubungan dagang dengan negeri-negeri Melayu pada masa itu.

Apabila Kedah Tua tertakluk di bawah Srivijaya, hubungan dagang tetap diteruskan antara kedua-duanya dan menjadikan hubungan dagangan lebih rancak dalam mencipta kekayaan bersama. Meskipun Kedah Tua berada di bawah kuasa Srivijaya, ia tetap memainkan peranan dalam mencipta kekayaan di sekitar Selat Melaka.

Manfaat daripada penguasaan Srivijaya, pentadbiran di Kedah Tua dapat diperkemaskan melalui kemahiran Srivijaya dalam mengurus tadbir wilayah-wilayahnya dan seterusnya menjalinkan pula hubungan dagang dengan Timur Tengah melalui Merbok dan Kuala Muda di Kedah.

Namun, Srivijaya lebih dominan dalam menentukan hala tuju prospek ekonomi perdagangan Kedah Tua. Walaupun begitu, Kedah Tua mampu berubah menjadi city state selepas menerima pengaruh urus tadbir dari Srivijaya terutama dalam hal ehwal perdagangan.

Pada suku akhir abad ke-7, inskripsi Telaga Batu merekodkan ciri-ciri pemerintahan city state Srivijaya dengan teratur dalam pentadbiran empayar. Empayar Srivijaya dibahagi kepada beberapa mandala dan setiap mandala ditadbir urus dengan sistematik oleh seorang datu atau gabenor atau duta terdiri daripada anak-anak raja yang bukan pewaris takhta atau anak-anak keturunan pembesar yang dilantik mengikut syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan.

Datu pula dibantu parvanda yang berkuasa sebagai ketua tentera atau armada bagi menjaga keselamatan sekitar empayar. Dalam sistem pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka, wujud juga jawatan yang sama dalam menjaga hal ehwal pentadbiran empayar, jawatan itu dipanggil mandulika.

Hierarki pentadbiran dan kelas sosial Srivijaya, golongan anak gahara (anak-anak berdarah raja dari sebelah ibu dan ayah) terbahagi kepada empat kelas iaitu Yuvaraja yang sama tarafnya dengan Tengku Mahkota (Crown Prince), diikuti pratiyuvaraja yang pada masa tertentu akan juga dilantik menjadi yuvaraja. Susun lapis ketiga pula ialah kumarra dan keempat, rajaputra (bukan anak gahara, salah seorang ibu atau bapa bukan dari golongan raja).

Dalam inskripsi Kota Kapur, kelas sosio-politik di Srivijaya direkodkan dua jenis golongan. Golongan pertama ialah keturunan yang mempunyai darah raja (kerabat) seperti diterangkan di atas dan golongan kedua pula ialah terdiri daripada golongan sanapatti (ketua hulubalang), nayakka (penghulu bendahari), hajeeprattyaya (temenggung) dan dandanayakka (kehakiman) yang berfungsi sebagai golongan pentadbir dalam bidang masing-masing yang berkhidmat untuk raja-raja.

Inskripsi Telaga Batu juga merekodkan satu golongan yang memainkan peranan dalam membangunkan Srivijaya sebagai sebuah city state. Golongan itu ialah tuan vatakvurra (penyelia dagang), nakhoda (kapten kapal) dan vaniagga (pedagang). Kumpulan inilah yang berperanan dalam menjadikan Srivijaya sebagai sebuah kerajaan yang dikenali di seluruh dunia pada masa itu dalam kegiatan perdagangan.

Tanpa perdagangan, Srivijaya tidak mampu berdiri sebagai sebuah city state jika hanya terlalu bergantung harap kepada sumber kekayaan wilayah-wilayah dalam empayar. Susun atur dalam lapis sosial juga menunjukkan bahawa Srivijaya adalah sebuah kerajaan yang advance atau maju. Jauh lebih advance jika dibandingkan dengan masyarakat Eropah pada masa itu yang masih hidup dalam Zaman Gelap.

Srivijaya tidak menjadi gah kerana empayarnya, sebaliknya ia menjadi gah disebabkan kekuatan perdagangannya sehingga menjadikan ia sebuah kerajaan yang kaya. Kekukuhan Srivijaya banyak bergantung kepada suasana perdagangan laut di Selat Melaka. Pada hujung abad ke-8, Srivijaya menguasai keseluruhan kegiatan dagangan antarabangsa di Selat Melaka.

Pusat-pusat dagangan di Lembah Bujang (Kedah), Jenderam Hilir (Selangor) dan Kuala Selinsing adalah antara yang pernah dikuasai Srivijaya untuk tujuan perdagangan pada abad ke-11.

Penyelidik sejarah, F.L Dunn dan Alaistair Lamb berpendapat, jajahan-jajahan Srivijaya turut menjalankan kegiatan perlombongan logam-logam bernilai tinggi. Seorang lagi penyelidik, W. Wolters menyatakan, hasil pengeluaran dari wilayah-wilayah empayar membolehkan Srivijaya menjalankan hubungan dagang bersama China.

Hasil kerancakan perdagangan pula membolehkan Srivijaya mengutip cukai daripada para pedagang bagi tujuan pembangunan wilayah-wilayah. Ia adalah sistem cukai untuk tujuan pembangunan yang terancang. Malah, ia juga antara ciri-ciri advance yang terdapat dalam sistem kutipan hasil untuk tujuan pentadbiran Srivijaya. Kecekapan mengurus tadbir hasil kekayaan itu telah membawa Srivijaya bangun sebagai sebuah city state yang gemilang dan dikenali serta disebut-sebut di seluruh pelosok dunia pada masa itu.

Istilah city state juga memberi gambaran bahawa semua penduduknya memiliki kekayaan dan tidak hidup miskin. Seorang penulis Arab, Abu Zaid merekodkan, hasil kekayaan yang dipungut Srivijaya melalui kegiatan perdagangan juga diagihkan kepada rakyat jelata. Ia bermakna, Srivijaya ada sebuah kerajaan yang sangat kaya kerana mampu membahagikan kekayaan negara kepada semua rakyatnya. Lazimnya, kekayaan itu diagihkan dalam bentuk emas. Catatan Abu Zaid juga menunjukkan Srivijaya adalah sebuah empayar yang kaya dengan emas.

Malah, golongan yang bergelar pelajar juga diberikan bantuan (seperti biasiswa) apabila berhijrah ke tempat lain bagi tujuan itu. Dalam inskripsi Nalanda yang ditulis pada 949 Masehi, direkodkan sebuah kuil dibina Maharaja Rajaputradewa bagi tujuan pusat pengajian dan setiap pelajar diberikan bantuan dalam bentuk biasiswa.

Kekayaan yang pernah dinikmati Srivijaya banyak dipengaruhi oleh fungsi Selat Melaka sebagai laluan perdagangan antarabangsa yang menghubungkan dunia Timur dan Barat. Kesan daripada fungsi Selat Melaka, wilayah-wilayah kecil dalam empayar Srivijaya mendapat faedah ekonomi yang besar. Selepas kejatuhan Srivijaya, wilayah-wilayah kecil itu berpecah menjadi wilayah-wilayah yang menjalankan urus tadbir sendiri.

Lama-kelamaan, wilayah-wilayah kecil itu terus berkembang dalam aspek ekonomi disebabkan faedah yang diterima daripada fungsi Selat Melaka. Perkembangan itu yang bermula daripada wilayah-wilayah kecil kemudian berubah menjadi negeri-negeri kecil. Perubahan itu juga didorong oleh fungsi Selat Melaka sebagai laluan perdagangan antarabangsa.

Kemudian tumbuhlah Melaka, Johor-Riau serta Acheh yang mendapat manfaat Selat Melaka yang sangat strategik. Parameswara, putera dari darah istana Srivijaya boleh sahaja berdiam membuka kerajaan di lain-lain tanah yang tidak menghadap Selat Melaka, namun Parameswara memilih Temasik kemudian Melaka kerana Temasik dan Melaka berada dalam laluan Selat Melaka yang mempunyai nilai perdagangan antarabangsa. Ia kerana Selat Melaka adalah jantung kepada perdagangan dan lubuk kekayaan orang Melayu di rantau ini.

Negeri-negeri kecil yang terbangun selepas kejatuhan Srivijaya, daripada pengkalan kemudian berubah menjadi pelabuhan besar yang kaya dan dipenuhi kapal-kapal dagang dari serata dunia. Tidak semua negeri Melayu di sepanjang Selat Melaka bertukar menjadi pelabuhan entreport berkepentingan besar, namun ia tetap menyumbang kepada kekayaan hasil daripada perdagangan antarabangsa. Melaka pula menjadi pelabuhan yang paling sibuk dan paling berkepentingan besar apabila kapal-kapal dagang dari serata dunia berhenti singgah untuk berdagang di situ.

Acheh, Siak, Jambi, Melaka, Banten, Makassar, Ambon, Semarang dan Palembang menikmati kekayaan yang bertali arus dengan Selat Melaka. Kapal-kapal dagang dari serata dunia yang lalu di Selat Melaka berlabuh dan menjalan kegiatan tukaran dagangan di pelabuhan-pelabuhan di sana. Ia menjadikan pelabuhan-pelabuhan kecil di sana bertukar menjadi pelabuhan-pelabuhan besar bertaraf antarabangsa dan mencipta kekayaan kepada negeri-negeri yang terlibat dan seterusnya menjadi city states yang masyhur.

Selat Melaka menyediakan perkhidmatan perbekalan bahan-bahan segar dan mewah seperti emas dan logam-logam bernilai tinggi. Kapal-kapal dagang singgah di Selat Melaka untuk mendapatkan bekalan makanan dan air bersih ketika berlabuh di negeri-negeri Melayu. Kanun Laut Melaka pula diperkenalkan bagi melicinkan kegiatan perdagangan di Selat Melaka. Ia menjadikan perdagangan lebih sistematik dan advance.

Selat yang sempit itu pula membolehkan negeri-negeri Melayu yang menghadap di sekitar Selat Melaka menjalankan perdagangan sesama mereka kerana jaraknya yang tidak jauh. Ia mendorong perkembangan hubungan ekonomi serantau yang rancak dan menyaksikan pertukaran jual beli barangan yang menyumbang ke arah pembangunan ekonomi sehingga terbinanya city states yang kaya raya.

Direkodkan, para pedagang India singgah di negeri-negeri Melayu di Selat Melaka untuk menjual barangan mereka bagi mendapat tukaran emas sebagai elemen jual beli. Para pedagang dibayar dengan emas ketika berurusan di negeri-negeri Melayu pada ketika itu.

Melaka yang menjadi tempat jualan hasil bumi, rempah ratus dan herba ubatan didatangkan dari negeri-negeri Melayu yang lain. Dalam erti kata lain, Melaka sebelum dimasuki Portugis pernah menjadi one-stop-center untuk para pedagang dari India, Arab, Parsi dan China mendapatkan semua barang-barang yang diperlukan dan setiap urus niaga pula melibatkan elemen pembayaran menggunakan emas. Para pedagang itu tidak perlu singgah di banyak tempat untuk mendapatkan barang-barang yang diperlukan, sudah memadai untuk mereka singgah di Melaka bagi mendapatkan semua barangan itu.

Kesannya, Melaka membangun pesat menjadi sebuah city state dalam masa singkat, hasil daripada fungsi Selat Melaka yang mempunyai nilai besar kepada ekonomi perdagangan antarabangsa.

Perkembangan negeri-negeri Melayu hasil daripada manfaat Selat Melaka menjadikan negeri-negeri Melayu berubah menjadi city states yang kaya raya sejak berabad lama sebelum zaman penjajahan Eropah di rantau ini bermula dengan kejatuhan Melaka terhadap Portugis pada 1511 Masehi. Melaka pula pernah bersinar sebagai bintang paling cerah di episod akhir Malay City States sebelum penaklukan Portugis.

Bermula dengan kejatuhan Melaka ke tangan orang Eropah, ia kemudian disusuli dengan episod-episod pilu jatuhnya satu persatu Malay city states yang lain. Nenek moyang orang Melayu yang kaya raya bermandi emas sejak zaman Srivijaya, telah jatuh ke lantai dan dipijak-pijak oleh bangsa Eropah yang dengki melihat kekayaan negeri-negeri Melayu melalui manfaat Selat Melaka.

Bangsa Eropah kemudian rakus menguasai Selat Melaka untuk manfaat ekonomi mereka. Saat bermulanya penguasaan bangsa Eropah ke atas laluan perdagangan antarabangsa yang paling strategik di Selat Melaka, negeri-negeri Melayu hancur lunyai dipaksa menerima penjajahan yang merampas semua kekayaan sejak berabad lama.
---

Nenek moyang kita kaya raya.
---

- HISTORIA -

Saturday 21 January 2012

Scythia dalam teks Hindu

Puak barbar Saka atau Scyth adalah suku nomad yang pernah wujud dalam pentas sejarah Asia Tengah. Melalui rekod-rekod awal Archamenia semasa kedinastian Parsi, direkodkan bahawa suku Saka pernah menetap di beberapa kawasan iaitu Bactria, Parsi Tengah dan Seistan sebelum mara ke India.

Mereka kemudian mara ke Parthia tetapi ditentang oleh Maharaja Mitrada II sehingga memaksa suku Scythia itu berundur sementara di timur Parsi. Dari Parsi, suku Scythia kemudian meneruskan usaha untuk masuk semula ke India selepas menemui jalan yang lebih strategik melalui Laluan Bolan.

Menurut ahli sejarah India, Dr. Chattopadya dalam tesisnya dipetik sebagai berkata, suku Saka yang memasuki India terbahagi kepada dua puak iaitu suku Shaka Muranda dan Shaka Seistan.

Puak Indo-Scythia dipanggil Shaka (Shetta, Shetka, Shatka) dalam teks-teks purba di India. Manakala kata Saka pula diberikan oleh orang-orang Parsi. Nama Scythia pula diberikan oleh orang-orang Greek.

Kata nama bagi suku Shaka beberapa kali disebut dalam dalam beberapa teks India purba termasuk Purana, Manusmeritti, Mahabbarata, Mahabhasiya Pantanjali, Brhatt Samhita, Kavyamimamsa, Brihatkarthamanjari, Karthasaritsagara, serta Ramayana. Dalam teks-teks itu, suku Shaka dijelaskan sebagai suku yang suka berperang, suka menyerang dan membuat kerosakan di barat-laut India.

Teks Manusmriti yang ditulis pada 200 Sebelum Masehi mengistilahkan bahawa suku Shaka sebagai gerombolan tentera yang gagah tetapi jahat. Mahabbrata juga mengistilahkan perkara yang sama.

Teks Vartikka pula menjelaskan Shaka sebagai suku barbar yang berkubu di Uttarapattha, Uddichya. Ramayana pula menjelaskan Shaka adalah puak barbar yang agresif dan pernah menyerang Hindukush.

Suku Shaka juga digambarkan sebagai gerombolan lima suku tentera (termasuk suku Muranda dan Seistan) yang berkomplot secara ketenteraan dengan puak Haihaya dan Talajunga Kshatriyya untuk menjatuhkan Raja Ikshvakku Bahoo dalam kerajaan Avodhya.

Kira-kira 50 tahun selepas Avodhya ditawan Shaka bersama sekutunya, anak raja Bahoo iaitu Sagara berjaya mengambil Avodhya semula selepas mengalahkan puak Shaka. Sagara juga bertindak menghukum puak Shaka sebelum menghalau mereka keluar daripada Avodhya.

Teks Kalika-Purana, mencatatkan peperangan antara Kalika dengan Kali antara tahun 187 hingga 180 Sebelum Masehi. Ia menerangkan Shaka menjadi sekutu Kali dalam menentang Kalika. Perjalanan sejarah di India yang huru-hara akibat serangan Shaka tidak padam dalam tempoh singkat dan berlarutan sehingga ke tahun-tahun Masehi.

Shaka atau Saka adalah suku penceroboh yang pernah berkuasa di tengah dan barat India. Suku Shaka Kushana (Indo-Aryanomad-Scyhia) pula berkubu di utara India, manakala suku Shaka Satavahana pula mengambil alih barat India. Kekuasaan mereka mengambil tempoh antara tahun 45 Masehi hingga 405 Masehi.

Kawasan seperti Saurashtra dan Malva pula adalah sebahagian daripada wilayah kekuasaan Shaka. Zaman kekuasaan suku Shaka di India bermula sejak pemerintahan Raja Chastana pada abad kedua Sebelum Masehi sehingga abad ketiga. Kewujudan mereka di India juga menjadi penyebab kepada wujudnya Kalendar Tahun Shaka.

Rentetan peristiwa itu menunjukkan bahawa suku Scythia memang pernah juga membuat kemusnahan di India melalui beberapa siri serangan dan peperangan yang mengancam tamadun-tamadun sedia ada di sana.

~

Friday 20 January 2012

Dari sungai berpindah ke bukit

Sungai menjadi faktor penting dalam pembinaan tamadun-tamadun besar. Mesopotamia dibangunkan di tepi Sungai Tigris dan Euphrates. Mesir dan Nubia purba pula dibangunkan di Lembah Sungai Nil yang subur. Harappa dan Mohenjo-daro pula di lembah Sungai Indus. Begitu juga dengan Xia, Shang dan Xou (tamadun-tamadun awal di China) terbangun di sepanjang Sungai Kuning dan Sungai Yangze.

Keperluan pengairan menggunakan sumber air sungai sangat penting dalam menyuburkan kawasan pertanian dan penternakan. Sistem pengairan dibangunkan bagi membolehkan kegiatan pengeluaran makanan bagi keperluan penduduk dapat berjalan dengan lancar dan demi survival.

Tetapi, penempatan tamadun di tepi sungai terpaksa berpindah (diperluaskan) ke kawasan berbukit apabila menghadapi serangan suku nomad Scythia dan Indo-Scythia. Negarakota dengan tembok-tembok besar sebagai kubu kemudian dibina di kawasan berbukit dan berbatu sebagai langkah mengelak diserang suku nomad.

Dalam keadaan ini, berada di tepi sungai bukan lagi keperluan utama bagi tamadun-tamadun besar untuk meneruskan survival. Sistem pengairan terpaksa dimajukan dengan teknologi-teknologi baru bagi membolehkan air dapat disalurkan ke kawasan-kawasan yang jauh daripada sungai termasuk di kawasan berbukit yang dijadikan kubu.

Berada di tepi sungai adalah langkah yang tidak selamat bagi membina tembok kota kerana kawasan tersebut mempunyai struktur tanah yang lembut. Tanah yang lembut disebabkan penyerapan air menyebabkan tembok yang dibina boleh runtuh dengan mudah dan tidak tahan lama.

Disebabkan itu, tamadun-tamadun yang diserang suku nomad mengambil langkah memperluas wilayah ke kawasan berbukit yang berbatu bagi membolehkan tembok-tembok yang lebih kukuh dapat dibina. Berada di atas kawasan bertanah tinggi juga membolehkan sebarang pergerakan di tanah rendah dapat dikawal dan dipantau.

Serangan Scythia meliputi Bactria, Sogdiana, Arakosia, Gandhara dan Lembah Indus. Sumber-sumber Greek pula menyebut, suku itu menyerang Sumeria, Mesopotamia, Babilonia dan sebahagian Asia.

Pembinaan negarakota yang dibina tembok-tembok besar adalah dipengaruhi oleh serangan Scythia. Andai tiada serangan Scythia, sudah tentu tiada keperluan untuk tamadun-tamadun besar itu memindahkan negarakota (kota terletaknya istana pemerintah) ke kawasan berbukit dan berbatu yang terletak jauh daripada sumber air.

Keganasan Scythia dalam pentas sejarah memainkan peranan dalam perkembangan tamadun manusia. Ia membawa kepada penerokaan teknologi pengairan dan peperangan serta perkotaan dalam menghadapi ancaman suku nomad.

Pembinaan Tembok Besar China semasa pemerintahan Maharaja Shi Huang Ti juga didorong oleh serangan suku nomad Xiongnu yang merupakan suku keturunan Scythia yang berhijrah ke Asia.

Pada abad kedua Sebelum Masehi, perjalanan sejarah suku Scythia banyak direkodkan dalam sumber Rom. Suku itu turut direkodkan memasuki Asia dan dipanggil Xiongnu oleh orang Cina.

Selepas suku nomad Yuezi (suku Indo-Eropah) yang sebelum itu menguasai Asia Timur berhampiran China dikalahkan oleh suku Xiongnu (suku Indo-Scyth), direkodkan suku Xiongnu kemudian mengambil alih dominasi di Asia Timur. Mereka sebelum itu membina penempatan di Mongol sebelum bekerjasama dengan suku Wusun menyerang suku Yuezi dan mengambil alih Kilian Shan dan Dun Hwang.

Kota-kota berkubu yang dibina di tamadun sekitar Lembah Indus juga didorong oleh serangan suku nomad Aryan (Aryanomad) yang juga suku pecahan Indo-Scythia. Sumber kitab agama dan sastera sejarah India iaitu Purana, turut merekodkan serangan Scythia.

Pertembungan antara Baha Saghara dan Haihaya Saka (Scythia disebut Saka atau Shetta dalam sebutan India Dravida) ini dipanggil ‘panca ganha’ dalam perang Kuruk Shetta. Ia menyaksikan serangan Scythia terhadap India sehingga menyebabkan bangsa Dravida terpaksa berundur ke selatan.

Selain itu, Parsi juga merekodkan siri serangan balas terhadap suku Scythia. Pada 512 Sebelum Masehi, Raja Koresh (Darius The Great) menyerang Scythia di Danube. Peperangan ini turut direkodkan Herodotus (ahli sejarah Yunani) yang mengatakan suku Scythia sebelum itu telah beberapa kali menyerang angkatan Parsi pada abad ke-5 hingga abad ke-3 Sebelum Masehi.

Suku Scythia adalah suku nomad yang ganas dalam peperangan. Suku ini direkodkan sebagai mahir dalam peperangan tentera berkuda serta memanah. Mereka juga dikatakan cekap memanah walaupun sambil menunggang kuda yang sedang berlari.

Tamadun-tamadun besar dalam sejarah manusia seringkali dicatat oleh sumber Yahudi dan Greek sebagai pernah menghadapi serangan-serangan yang dilakukan oleh suku barbar ini. Sumber-sumber Greek jika dibuat rujukan silang dengan sumber-sumber lain (Cina, India dan Yahudi) turut menyaksikan keselarian peristiwa. Kisah serangan suku Scythia tercatat dalam hampir semua tamadun besar.

Jadi, inilah suku bangsa yang melakukan banyak kemusnahan di atas muka bumi. Mereka adalah musuh kepada tamadun-tamadun besar dunia. Mereka jugalah yang menjadi faktor kepada sesuatu tamadun untuk meningkatkan teknologi bagi menghadapi serangan mereka apabila terpaksa berpindah jauh daripada sungai.

~

Serangan nomad

Tamadun-tamadun 'advance' atau tamadun-tamadun besar dalam sejarah awal manusia menyaksikan siri-siri serangan daripada golongan barbar & suku nomad.

Rekod-rekod Yunani (Greek) menjelaskan tamadun-tamadun besar itu diserang oleh segolongan barbar yang dipanggil Scythia dan berasal dari padang ragut Eurasia (juga dipanggil padang steppe yang berumput dan berhutan) yang terbentang dari Eropah Timur hingga sebahagian Asia Timur.

Manakala dalam rekod-rekod Yahudi yang selari dengan rekod-rekod Greek pula menjelaskan suku-suku penyerang nomad yang menyerang tamadun-tamadun besar itu ialah suku Gog dan Magog dari jurai Japhite.

Menurut beberapa sumber sejarah. Keturunan manusia bercambah daripada anak-anak Nabi Nuh yang terselamat selepas peristiwa banjir besar. Berdasar sumber-sumber pengkaji Islam, anak-anak Nabi Nuh yang terselamat ialah Shem, Ham dan Yafit.

Sumber-sumber Islam juga menerangkan nama anak-anak Nabi Nuh secara selari dengan sumber-sumber Yahudi yang mana Yahudi menyebut anak-anak Nabi Nuh yang terselamat ialah Sem, Hem dan Yaffet menurut sebutan dalam bahasa Yahudi.

Isaac Newton (yang popular dengan teori graviti) juga menerangkan manusia terdiri daripada tiga bangsa induk iaitu Semite (keturunan Shem), Hammite (keturunan Ham) dan Japhite (keturunan Yafits).

Shem bin Nuh melahirkan bangsa-bangsa Semit seperti Arab, Yahudi, Akkad, Assyr, Babilon, Meso dan Sumer. Manakala Ham bin Nuh melahirkan bangsa Dravida (di Lembah Sungai Indus) dan suku-suku yang menetap di benua Afrika. Japhite bin Nuh melahirkan suku-suku bangsa Scyth, Kaukasas, Hun, Mongol dan suku bangsa Eropah yang berlegar di padang ragut Eurasiasebelum menetap. Daripada anak-anak Nabi Nuh ini, maka lahir bangsa-bangsa manusia yang terdapat di dunia hari ini.

Pembinaan (arkitektural) kota-kota dalam tamadun besar juga didorong oleh serangan suku nomad. Tembok-tembok dalam negarakota juga dibina bagi menghalang serangan suku nomad Scythia dan Aryanomadik.

Rekod-rekod Greek menerangkan tamadun-tamadun di sekitar Fertile Crescent (berdasarkan bentuk lekukan wilayah subur dalam peta Asia Barat) sering mendapat serangan daripada suku nomad dan barbar.

Ia memaksa tamadun-tamadun itu membina negarakota yang tidak mampu ditembusi oleh serangan suku nomad. Dalam rekod Flavius Josephus (ahli sejarah Yunani berketurunan Yahudi, hidup pada abad pertama Masehi) merekodkan, suku nomadik tersebut ialah suku Scythia yang dikenali sebagai tentera berkuda. Josephus dalam catatannya The Antiquities of the Jews turut memberi nama Scythia itu sebagai Magog.

Manusia yang hidup secara menetap dengan membina tamadun sering berhadapan dengan risiko diserang oleh suku nomad. Selain itu, rekod-rekod lain juga menyebut perkara yang sama. Kesimpulan di sini ialah semua tamadun besar pernah berhadapan dengan serangan suku Scythia ketika abad-abad Sebelum Masehi.

Suku Scythia inilah yang menjadi ancaman kepada tamadun-tamadun besar. Mereka digelar bangsa berkuda yang memusnahkan bangsa-bangsa lain dan alam sekitar di mana sahaja kawasan berpenduduk yang menjadi laluan mereka. Inilah juga suku yang hidup di kawasan pergunungan di Caucassia dan padang Eurasia.

Berdasarkan rekod perjalanan suku Scythia (mengikut sumber sejarahwan Herodotus), sebahagian mereka dikesan berpindah ke Eropah Timur selepas tumpas dalam serang balas Assyria. Sebahagian yang lain pula menetap di Asia Timur sekitar Mongol dan keturunan mereka akhirnya berkembang di sana.

Pada kira-kira tahun 1600 Masehi pula, suku Mongol dari keturunan Scyth (Sith) itu kembali menyerang tamadun-tamadun besar di sekitar Asia Barat dan Timur Tengah. Antara tamadun yang terjejas dan runtuh akibat serangan orang Mongol ialah pemerintahan Khalifah Abbassiyah dan beberapa pemerintahan Islam yang lain.

Suku Scythia disebut Magog berdasarkan sumber Yahudi, sumber Greek pula menyebut sebagaiScythia. Walaupun berbeza dari segi sebutan, ia merujuk kepada karekter suku bangsa yang sama. Manakala suku Mongol pula disebut Gog, berasal daripada keturunan suku Scythia dari jalur Japhite.

Orang Yahudi memanggil suku itu sebagai Gog dan Magog (mengikut ejaan Greek seperti dalam teks Flavius Yosephus) yang jika disebut berdasarkan lidah asal Yahudi pula ia berbunyi Joj dan Majoj. Manakala dalam sebutan Arab disebut Yakjuj dan Makjuj.

Kesimpulannya, perjalanan sejarah tamadun-tamadun besar dunia sering berhadapan ancaman daripada suku Gog dan Magog atau disebut Yakjuj dan Majuj dalam bahasa Arab. Suku itulah yang dijelaskan dalam alQuran yang berbahasa Arab sebagai ‘kaum’ yang sentiasa melakukan kerosakan di muka bumi.

“Mereka berkata: “wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?” – Quran, al-Kahfi, ayat 94.

Kata nama 'kaum' juga merujuk kepada manusia. Yakjuj Makjuj itu adalah manusia. Gog Magog adalah kaum yang sama. Suku bangsa itulah yang menjadi pemusnah bangsa-bangsa dan tamadun-tamadun seperti yang dicatatkan dalam rekod-rekod sejarah.

~