Wednesday 19 September 2012

Ke mana mereka hilang?


Ke mana hilangnya baki 98,000 askar?

MENURUT Tom Pires, Melaka mempunyai 100,000 orang askar dan mempunyai angkatan tambahan sebanyak 700 askar Jawa.  Namun, menurut laporan perang sebagaimana dicatat oleh Alfonso de’ Albuquerque, hanya seramai 2,000 askar Melaka berperang dengan Portugis.

Dalam catatan yang sama, Albuquerque turut menyatakan 2,000 askar Melaka itu dibantu oleh 700 askar Jawa yang menentang 600 askar Portugis (lebih kurang 200 askar Portugis terbunuh dalam pertempuran pertama) yang berada di Melaka dalam episod serangan balas.

Apabila dipersilangkan kedua-dua laporan Pires dan Albuquerque itu, didapati wujud persamaan angka iaitu 700 askar Jawa. Berdasarkan kedua-dua laporan itu, kita ketahui bahawa askar Melaka dibantu oleh 700 askar Jawa. Kewujudan persamaan angka itu menunjukkan kedua-dua laporan itu adalah selari dan boleh dipercayai.

Pires menyatakan: Askar Melaka sebanyak 100,000 orang yang sentiasa bersiap sedia dan ada angkatan tambahan 700 askar Jawa.

Albuquerque menyatakan: Hanya 2,000 askar Melaka pergi berperang dan dibantu 700 askar Jawa dalam siri serangan balas.

Albuquerque menambah, dalam Kota Melaka pula terdapat 20,000 orang (bukan askar) yang sedia terlibat dalam serangan balas tersebut, ia termasuk orang-orang Melayu Melaka, Jawa, Parsi dan Coracone.

Namun, Albuquerque memintas serangan tersebut dengan meningkatkan kawalan askar Portugis di sekitar Kota Melaka sehingga menyebabkan 20,000 orang tersebut tidak tampil semasa serangan balas itu. 

Kejayaan memintas tindakan 20,000 orang itu menyebabkan angkatan serangan balas yang dipimpin Sultan Mahmud Shah menghadapi kesulitan.

Terdapat catatan lain dari Albuquerque yang lebih menarik. Menurut Albuquerque, beberapa laras senapang ditemui askar Portugis di Jeram Kwi dekat Tembeling, Pahang pada semasa Portugis meningkatkan kawalan ketenteraan di daratan.

“Guns found at Jeram Kwi on the Tembeling in Pahang… and the guns (tidak dinyatakan berapa laras semuanya) themselves seem to have been lethal….”

Jadi, Albuquerque mengesahkan bahawa sudah terdapat senjata api yang digunakan orang Melayu.

Beliau mengukuhkan kenyataan tersebut dengan mencatat bahawa Antonio de Abreau berhadapan kesultan semasa menghadapi serangan balas askar Melaka apabila ditimpa peluru-peluru meriam sehingga menyebabkan Abreau mengalami kecederaan di rahang akibat terkena serpihan peluru meriam.

Ia menjelaskan bahawa teknologi ketenteraan orang Melayu adalah setara dengan teknologi perang orang Eropah iaitu penggunaan senjata api seperti senapang dan meriam. Orang Melayu dahulu tidak berperang menggunakan keris (senjata milik peribadi bagi golongan elit) atau parang semata-mata, mereka juga ada senjata api.

Dalam catatan lain, Albuquerque menyatakan bahawa Portugis menghadapi serangan sengit selama 14 hari dan 14 malam tanpa henti dengan dentuman meriam dari pihak Melaka.

Jika orang (Melayu) Melaka hanya berperang dengan menggunakan tombak, keris dan parang semata-mata, tidak mungkin Portugis terpaksa berhempas pulas selama dua minggu tanpa henti kerana askar Portugis dilengkapi senjata jarak jauh seperti meriam, crossbow dan senapang.

Portugis menghadapi kesulitan itu kerana Melaka juga mempunyai senjata-senjata yang setaraf dengan Portugis. Senapang lawan senapang, meriam lawan meriam dan panah lawan crossbow. Oleh itu, sudah tentu bukan mudah untuk mengalahkan Melaka pada ketika itu.

“…3,000 pieces of artilleries were taken, and among them there were about 2,000 in bronze, and one very large gun which the King of Calicut had sent to the Sultan of Malacca…let not those who read this writing be astonished when I say that in Malacca were taken 3,000 guns, for Ruy de Araujo and Ninachatu declared to Alfonso de Albuquerque that there were 8,000 (artilleries) in Malacca..and the guns were as good as those of Germany..” - Alfonse de Albuquerque

Kalau kekuatan Melaka adalah sama hebat, jauh lebih hebat daripada Portugis, tidak mungkin Melaka menderita kehilangan negeri. Mustahil Melaka kalah kerana Melaka mempunyai banyak kelebihan untuk menang.

---
Hanya 2,000 bersama Sultan Mahmud dalam serangan balas.
Sebelumnya, terdapat 100,000 askar Melaka menentang 800 askar Portugis di Selat Melaka.

Apa yang telah berlaku kepada baki angkatan 98,000 askar Melaka?

Kalau mereka dibunuh, siapa yang membunuh mereka?

Kalau mereka membelot, siapakah ketua mereka?

Portugis datang ke Melaka dengan kira-kira 800 askar, ada yang terbunuh dan ada yang terselamat, dalam menghadapi 2,000 askar Melaka (tidak termasuk 700 askar Jawa), Portugis masih boleh bertahan, bagaimana Portugis bertahan sedangkan bantuan armada Portugis dari India belum sampai ke perairan Selat Melaka, adakah mereka menerima bantuan askar upahan yang berdekatan, siapakah askar upahan Portugis? Adakah dari kalangan 98,000 orang itu?

Tidak mungkin semua 98,000 orang askar itu mati dalam pertempuran pertama, pasti ada baki dari kalangan mereka, tidak mungkin mereka 'hilang' begitu sahaja.

Katakan, kita sudah jumpa 20,000 orang daripada kumpulan askar 98,000 orang yang hilang itu, tetapi mereka tidak muncul dalam serangan balas.

Dilaporkan ada 20,000 orang menunggu di Kota Melaka untuk membantu angkatan serangan balas, tetapi mereka bukan askar, akhirnya mereka tidak juga muncul-muncul.

Tiada masalah kalau semberono mahu memasukkan mereka ke dalam kumpulan 98,000 askar itu, 98,000-20,000, ada baki 78,000 orang lagi, tetapi kumpulan 20,000 orang itu juga hilang begitu sahaja, ke mana hilangnya mereka? ke mana hilangnya 98,000 askar Melaka?

Dibunuh?
Membelot?


-HISTORIA-