Saturday 21 January 2012

Scythia dalam teks Hindu

Puak barbar Saka atau Scyth adalah suku nomad yang pernah wujud dalam pentas sejarah Asia Tengah. Melalui rekod-rekod awal Archamenia semasa kedinastian Parsi, direkodkan bahawa suku Saka pernah menetap di beberapa kawasan iaitu Bactria, Parsi Tengah dan Seistan sebelum mara ke India.

Mereka kemudian mara ke Parthia tetapi ditentang oleh Maharaja Mitrada II sehingga memaksa suku Scythia itu berundur sementara di timur Parsi. Dari Parsi, suku Scythia kemudian meneruskan usaha untuk masuk semula ke India selepas menemui jalan yang lebih strategik melalui Laluan Bolan.

Menurut ahli sejarah India, Dr. Chattopadya dalam tesisnya dipetik sebagai berkata, suku Saka yang memasuki India terbahagi kepada dua puak iaitu suku Shaka Muranda dan Shaka Seistan.

Puak Indo-Scythia dipanggil Shaka (Shetta, Shetka, Shatka) dalam teks-teks purba di India. Manakala kata Saka pula diberikan oleh orang-orang Parsi. Nama Scythia pula diberikan oleh orang-orang Greek.

Kata nama bagi suku Shaka beberapa kali disebut dalam dalam beberapa teks India purba termasuk Purana, Manusmeritti, Mahabbarata, Mahabhasiya Pantanjali, Brhatt Samhita, Kavyamimamsa, Brihatkarthamanjari, Karthasaritsagara, serta Ramayana. Dalam teks-teks itu, suku Shaka dijelaskan sebagai suku yang suka berperang, suka menyerang dan membuat kerosakan di barat-laut India.

Teks Manusmriti yang ditulis pada 200 Sebelum Masehi mengistilahkan bahawa suku Shaka sebagai gerombolan tentera yang gagah tetapi jahat. Mahabbrata juga mengistilahkan perkara yang sama.

Teks Vartikka pula menjelaskan Shaka sebagai suku barbar yang berkubu di Uttarapattha, Uddichya. Ramayana pula menjelaskan Shaka adalah puak barbar yang agresif dan pernah menyerang Hindukush.

Suku Shaka juga digambarkan sebagai gerombolan lima suku tentera (termasuk suku Muranda dan Seistan) yang berkomplot secara ketenteraan dengan puak Haihaya dan Talajunga Kshatriyya untuk menjatuhkan Raja Ikshvakku Bahoo dalam kerajaan Avodhya.

Kira-kira 50 tahun selepas Avodhya ditawan Shaka bersama sekutunya, anak raja Bahoo iaitu Sagara berjaya mengambil Avodhya semula selepas mengalahkan puak Shaka. Sagara juga bertindak menghukum puak Shaka sebelum menghalau mereka keluar daripada Avodhya.

Teks Kalika-Purana, mencatatkan peperangan antara Kalika dengan Kali antara tahun 187 hingga 180 Sebelum Masehi. Ia menerangkan Shaka menjadi sekutu Kali dalam menentang Kalika. Perjalanan sejarah di India yang huru-hara akibat serangan Shaka tidak padam dalam tempoh singkat dan berlarutan sehingga ke tahun-tahun Masehi.

Shaka atau Saka adalah suku penceroboh yang pernah berkuasa di tengah dan barat India. Suku Shaka Kushana (Indo-Aryanomad-Scyhia) pula berkubu di utara India, manakala suku Shaka Satavahana pula mengambil alih barat India. Kekuasaan mereka mengambil tempoh antara tahun 45 Masehi hingga 405 Masehi.

Kawasan seperti Saurashtra dan Malva pula adalah sebahagian daripada wilayah kekuasaan Shaka. Zaman kekuasaan suku Shaka di India bermula sejak pemerintahan Raja Chastana pada abad kedua Sebelum Masehi sehingga abad ketiga. Kewujudan mereka di India juga menjadi penyebab kepada wujudnya Kalendar Tahun Shaka.

Rentetan peristiwa itu menunjukkan bahawa suku Scythia memang pernah juga membuat kemusnahan di India melalui beberapa siri serangan dan peperangan yang mengancam tamadun-tamadun sedia ada di sana.

~

No comments:

Post a Comment

Boleh kongsi komen di sini.