Friday 20 January 2012

Dari sungai berpindah ke bukit

Sungai menjadi faktor penting dalam pembinaan tamadun-tamadun besar. Mesopotamia dibangunkan di tepi Sungai Tigris dan Euphrates. Mesir dan Nubia purba pula dibangunkan di Lembah Sungai Nil yang subur. Harappa dan Mohenjo-daro pula di lembah Sungai Indus. Begitu juga dengan Xia, Shang dan Xou (tamadun-tamadun awal di China) terbangun di sepanjang Sungai Kuning dan Sungai Yangze.

Keperluan pengairan menggunakan sumber air sungai sangat penting dalam menyuburkan kawasan pertanian dan penternakan. Sistem pengairan dibangunkan bagi membolehkan kegiatan pengeluaran makanan bagi keperluan penduduk dapat berjalan dengan lancar dan demi survival.

Tetapi, penempatan tamadun di tepi sungai terpaksa berpindah (diperluaskan) ke kawasan berbukit apabila menghadapi serangan suku nomad Scythia dan Indo-Scythia. Negarakota dengan tembok-tembok besar sebagai kubu kemudian dibina di kawasan berbukit dan berbatu sebagai langkah mengelak diserang suku nomad.

Dalam keadaan ini, berada di tepi sungai bukan lagi keperluan utama bagi tamadun-tamadun besar untuk meneruskan survival. Sistem pengairan terpaksa dimajukan dengan teknologi-teknologi baru bagi membolehkan air dapat disalurkan ke kawasan-kawasan yang jauh daripada sungai termasuk di kawasan berbukit yang dijadikan kubu.

Berada di tepi sungai adalah langkah yang tidak selamat bagi membina tembok kota kerana kawasan tersebut mempunyai struktur tanah yang lembut. Tanah yang lembut disebabkan penyerapan air menyebabkan tembok yang dibina boleh runtuh dengan mudah dan tidak tahan lama.

Disebabkan itu, tamadun-tamadun yang diserang suku nomad mengambil langkah memperluas wilayah ke kawasan berbukit yang berbatu bagi membolehkan tembok-tembok yang lebih kukuh dapat dibina. Berada di atas kawasan bertanah tinggi juga membolehkan sebarang pergerakan di tanah rendah dapat dikawal dan dipantau.

Serangan Scythia meliputi Bactria, Sogdiana, Arakosia, Gandhara dan Lembah Indus. Sumber-sumber Greek pula menyebut, suku itu menyerang Sumeria, Mesopotamia, Babilonia dan sebahagian Asia.

Pembinaan negarakota yang dibina tembok-tembok besar adalah dipengaruhi oleh serangan Scythia. Andai tiada serangan Scythia, sudah tentu tiada keperluan untuk tamadun-tamadun besar itu memindahkan negarakota (kota terletaknya istana pemerintah) ke kawasan berbukit dan berbatu yang terletak jauh daripada sumber air.

Keganasan Scythia dalam pentas sejarah memainkan peranan dalam perkembangan tamadun manusia. Ia membawa kepada penerokaan teknologi pengairan dan peperangan serta perkotaan dalam menghadapi ancaman suku nomad.

Pembinaan Tembok Besar China semasa pemerintahan Maharaja Shi Huang Ti juga didorong oleh serangan suku nomad Xiongnu yang merupakan suku keturunan Scythia yang berhijrah ke Asia.

Pada abad kedua Sebelum Masehi, perjalanan sejarah suku Scythia banyak direkodkan dalam sumber Rom. Suku itu turut direkodkan memasuki Asia dan dipanggil Xiongnu oleh orang Cina.

Selepas suku nomad Yuezi (suku Indo-Eropah) yang sebelum itu menguasai Asia Timur berhampiran China dikalahkan oleh suku Xiongnu (suku Indo-Scyth), direkodkan suku Xiongnu kemudian mengambil alih dominasi di Asia Timur. Mereka sebelum itu membina penempatan di Mongol sebelum bekerjasama dengan suku Wusun menyerang suku Yuezi dan mengambil alih Kilian Shan dan Dun Hwang.

Kota-kota berkubu yang dibina di tamadun sekitar Lembah Indus juga didorong oleh serangan suku nomad Aryan (Aryanomad) yang juga suku pecahan Indo-Scythia. Sumber kitab agama dan sastera sejarah India iaitu Purana, turut merekodkan serangan Scythia.

Pertembungan antara Baha Saghara dan Haihaya Saka (Scythia disebut Saka atau Shetta dalam sebutan India Dravida) ini dipanggil ‘panca ganha’ dalam perang Kuruk Shetta. Ia menyaksikan serangan Scythia terhadap India sehingga menyebabkan bangsa Dravida terpaksa berundur ke selatan.

Selain itu, Parsi juga merekodkan siri serangan balas terhadap suku Scythia. Pada 512 Sebelum Masehi, Raja Koresh (Darius The Great) menyerang Scythia di Danube. Peperangan ini turut direkodkan Herodotus (ahli sejarah Yunani) yang mengatakan suku Scythia sebelum itu telah beberapa kali menyerang angkatan Parsi pada abad ke-5 hingga abad ke-3 Sebelum Masehi.

Suku Scythia adalah suku nomad yang ganas dalam peperangan. Suku ini direkodkan sebagai mahir dalam peperangan tentera berkuda serta memanah. Mereka juga dikatakan cekap memanah walaupun sambil menunggang kuda yang sedang berlari.

Tamadun-tamadun besar dalam sejarah manusia seringkali dicatat oleh sumber Yahudi dan Greek sebagai pernah menghadapi serangan-serangan yang dilakukan oleh suku barbar ini. Sumber-sumber Greek jika dibuat rujukan silang dengan sumber-sumber lain (Cina, India dan Yahudi) turut menyaksikan keselarian peristiwa. Kisah serangan suku Scythia tercatat dalam hampir semua tamadun besar.

Jadi, inilah suku bangsa yang melakukan banyak kemusnahan di atas muka bumi. Mereka adalah musuh kepada tamadun-tamadun besar dunia. Mereka jugalah yang menjadi faktor kepada sesuatu tamadun untuk meningkatkan teknologi bagi menghadapi serangan mereka apabila terpaksa berpindah jauh daripada sungai.

~

No comments:

Post a Comment

Boleh kongsi komen di sini.